Alam perkahwinan


Alhamdulillah.

Tanggal 5 disember 2015 menjadi titik noktah kehidupan bujang aku sebagai lone ranger. Pada saat ini segala tanggungjawab akan digalas oleh aku untuk bina kehidupan dengan isteri yang dinikahi. Dalam bahagianya hati mesti terpalit kepahitan, dan of course sebelum aku bernikah banyak pahit jerih yang terpaksa ditempuh, terlalu banyak halangan yang memungkinkan aku untuk patah semangat, terlalu banyak faktor yang boleh menyebabkan aku berpatah balik kembali ke kehidupan bujang, dan percayalah jika engkau kuat, yakin dengan qada' dan qadar Allah akan permudahkan segalanya.

Bila melangkah ke alam perkahwinan banyak yang perlu dititikberatkan, jangan bernikah kerana nafsu dan jangan bernikah kerana trend.

Niat kita bernikah dengan isteri hanyalah untuk menghalalkan hubungan dan memudahkan melakukan hubungan intim sesama sendiri, dari situ ia akan mendatangkan kemudaratan dari segi psikologi, ini kerana nikah kerana nafsu semata hanyalah bersifat sementara, waima tidak berkekalan hingga akhirnya, nafsu merupakan permainan syaitan yang hanyalah menghasut umat manusia ke arah kesesatan. Dan tatkala engkau bernikah, syaitan akan berhenti mengoda nafsu umat islam dan waktu itu apakah engkau boleh terima sepenuhnya isteri yang dinikahi? perbetul niat untuk bernikah, tanam dalam hati untuk sehidup semati, susah senang dan bahagia bersama hingga ke jannah.

Faktor bernikah kerana trend ini sering terjadi bila rakan sekeliling mula ambil langkah berkahwin, walhal kita sendiri masih terkapai dalam perhubungan, waktu ini fikiran kita terganggu dengan sentimen perkahwinan dan rasa terancam dengan pandangan orang sekeliling, ianya bukanlah sesuatu yang salah, malah ianya mengalakkan kita untuk lebih matang dalam perhubungan, kerana kita mula memikirkan soal perkahwinan untuk mengakhiri zaman percintaan tanpa status. Situasi ini sering melanda golongan wanita kerana bagi mereka tatkala umur mencecah 25-26 mereka sudah mula runsing akan apa pengakhiran hubungan mereka. sebagai penyelesaiannya berbincanglah dengan matang dan buat perancangan dari awal dan tidak terburu-buru.

Syukur ke hadrat Ilahi, Allah kurniakan aku sihat akal fikiran, sihat fizikal dan seorang isteri yang alhamdulillah memahami dalam segala segi, boleh dibawa berbincang dan terima segala teguran. ramai yang inginkan mahligai perkahwinan yang indah dan sempurna dari segala segi, namun hakikat yang pahit perlu diterima, perkahwinan ialah perjalanan hidup yang dilalui tiap hari bersama pasangan sehingga akhir hayat, banyak pasang surut perlu ditempuh bagi mengekalkan keharmonian rumah tangga.

Sebagai seorang suami jujur aku katakan tingkat kesabaran perlu diperingkat tertinggi, banyak yang perlu dipelajari bagi membimbing seorang isteri dan bakal anak di kemudian hari, amarah yang terpendam tidak boleh dilampias bersahaja, terlajak perahu boleh di undur terlajak kata buruk padahnya. Tenanglah dalam mengambil keputusan dan tidak terlalu terburu-buru agak tidak mendatangkan kemudaratan kemudian hari. Aku pun terkadang terlepas kata atau marah kepada isteri aku, namun setelah tenangkan diri untuk seketika rasa penyesalan tu menyelubungi diri, rasa tak tenang, rasa takut, rasa bersalah semua rasa ada. Waktu itu ego merupakan tembok yang paling tebal untuk ditembusi kerana ancaman yang paling hebat dalam perhubungan ialah EGO untuk tunduk dalam kemaafan.

Seperti yang sedia maklum, emosi seorang wanita sangatlah rapuh, mereka boleh bersedih akan sesuatu yang kita rasakan enteng tapi bagi mereka ianya hal yang besar. kita sebagai lelaki dilahirkan dengan emosi yang bersahaja dan tidak terlalu komplikated. tapi bagi wanita ianya adalah sebaliknya, berhati hatilah dalam setiap pertuturan dan elakkan untuk melukakan hati isteri. Hargai setiap apa yang mereka lakukan untuk kita ini kerana mereka juga sedaya upaya jadi seorang isteri yang kita mahukan sepertimana kita mahu jadi suami yang terbaik untuk mereka. Bersama jadi yang terbaik di dunia dan akhirat.

Akhir kata, jadilah seorang penghibur kepada isteri anda, dengarkan gelak ketawanya dan dengarkan celotehnya setiap hari, nescaya inilah yang akan menenangkan hati korang lebih dari apa pun.

RL.