Resolusi Perkahwinanku

Apa erti perkahwinan bagi diri aku??

Bagi aku erti perkahwinan mahupun pernikahan ialah penyatuan dua jiwa yang dah bersetuju untuk hidup sebati bersama, dua jiwa yang mana boleh terima kebaikan dan keburukan setiap pasangan, boleh bertolak ansur dan berbincang atas segala apa keputusan untuk masa depan bersama, mencari keredhaan di dunia mahu pun akhirat, sedia berubah ke arah kebaikan dan membimbing keluarga yang bahagia.

Dari segi persepsi individu aku, pernikahan merupakan satu keputusan yang sangat besar, ia merupakan titik permulaan bagi kehidupan yang lebih mencabar dan tanggungjawab yang perlu dipikul membuat semua lelaki yang akan menamatkan waktu bujang mereka tertanya tanya, apakah benar keputusan yang mereka buat??

Seringkali terpacul di fikiran, mampukah aku bimbing seorang isteri ke jalan yang diredhai? sedangkan aku sendiri masih rapuh berdiri menghadap ilahi. persoalan demi persoalan terbit di sanubari, bahkan segala yang kau cuba usahakan juga kadangkala digagalkan oleh orang sekeliling. ramai yang akan mempersoalkan kredibiliti seorang lelaki yang akan memimpin seorang isteri kejalan ilahi. mereka beranggapan bahawa untuk menjadi seorang suami perlulah lengkap ilmu di hati, yee aku tidak sama sekali menyangkal pendapat sedemikian, aku juga akui tanggungjawab yang besar menanti di alam perkahwinan. banyak dugaan dan cabaran yang perlu aku rempuh. bukan senang nak bahagia, bukan susah nak derita.

Pelbagai dugaan akan dihadapi tatkala aku melafazkan ingin bernikah dengan orang yang aku kehendaki. bukan mudah rasanya seorang lelaki menadah tangan untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami, bukan mudah juga kedua ibu bapa melepaskan anak perempuan mereka kepada lelaki yang entah boleh bertanggungjawab atau tidak terhadap keperluan dan kehendak anak mereka yang selama ini mereka tanggung. pelbagai keraguan akan timbul didalam pemikiran mereka terhadap menantu yang mereka akan terima dalam keluarga, adakah layak engkau mengahwini anakku?? itu sudah pasti menjadi persoalan yang tiada titik noktah.

Apakah aku layak menjadi seorang suami??

Bukan hak aku mengadili diri aku sendiri, bukan hak mereka juga menghukum dengan semudahnya, aku sedar dan pasti pelbagai dugaan perlu dihadapi untuk mengecap bahagia yang hakiki. kematangan manusia bukan di ukur melalui umur, ada juga yang sudah berusia tahap pemikiran mereka tidak setaraf dengan umur mereka. itu semua terpulang kepada individu tersebut membuat penilaian atas segala tindak tanduk yang dilakukan. bagi aku faktor umur yang muda bukanlah penentu kelayakan seseorang itu boleh berkahwin atau tidak. manusia berubah, sikap berubah, ilmu juga berubah. kenapa ilmu berubah? tak pernah lagi aku merasakan ilmu berkurangan, walhal ilmu semakin bercambah tatkala kita meniti kehidupan harian. 

Dalam berkata mungkin berbisa, dalam bertindak mungkin membinasa. seringkali aku tertanya apakah tindak tanduk yang aku lakukan sering menyakitkan hati orang sekeliling, dalam setiap pertuturan mungkin terpalit sedikit kebencian. kita manusia biasa yang tak lari dari kesilapan, dari kesilapan barulah tercetus kesempurnaan, jangan beranggapan bahawa semua manusia menyukai kita sedangkan kita sendiri tak menyukai segelintir dari mereka. aku bukanlah seorang lelaki yang mudah bergaul dan berbual kosong dengan orang sekeliling, malahan aku hanya suka bersuara bila ada point yang ingin aku ketengahkan. sedangkan orang yang paling aku rapat macam mak aku pun jarang berbual bersama. bukan tak ingin bersuara atau berlagak sombong. Tidak! aku lebih suka jadi pendengar dan menyelami isi hati orang dari menonjolkan diri aku sebenar. mungkin ada yang merasa terkesan atau berkecil hati dengan sikap aku, tapi Allah lebih mengetahui. dan lambat laun aku harap mereka boleh get along dengan perangai aku macam ni.

Setiap lelaki ada impian mereka sendiri, aku percaya semua orang ada pasang angan2 terhadap rumah tangga yang bakal mereka bina. aku pun ada, banyak fantasi yang aku angankan tapi apa pun aku masih berpaksikan realiti, berpijak dibumi yang nyata. aku cuma mengharapkan hati aku kuat dan tabah untuk menempuh liku kehidupan yang barangkali dua kali ganda mencabar dari kehidupan bujang sekarang. mana taknya bakal isteri kesayangan aku pun degil dia lain macam juga, tapi takpe aku bersyukur dia buat keputusan untuk sehidup semati dengan aku, bersyukur sangat. Alhamdullilah.

Selain itu juga aku sangat mengharapkan ibu bapa bakal isteri aku terima aku seadanya, aku bukanlah manusia yang paling sempurna untuk anakmu, tapi insyaAllah dengan kehadiran anakmu bakal menyempurnakan lagi diri aku. janji aku sebagai suami akan menjaga kebajikan dan keperluan anakmu sehingga akhir hayat. doakan kami mendapat keberkatan dalam perkahwinan yang bakal didirikan serta tegurlah kesilapan kami dengan hemah. aku juga berjanji tidak akan mencela anakmu dengan sehalus luka yang mencederakan dia. beri kami masa untuk buktikan kepada kamu bahawa perkahwinan ini merupakan titik permulaan kehidupan yang lebih baik untuk anakmu. kami sebagai anak juga mendoakan kesihatan dan kesejahteraan kamu sebagai ibu bapa agar terhindar dari segala kesusahan di masa akan datang. sesungguhnya apa yang kami mahukan juga kegembiraan dan senyuman terpancar dari wajah kamu. aku juga mohon kamu mendoakan pintu rezeki kami terbuka lebih luas agar aku dapat membahagiakan keluarga baruku. dan jujur dari lubuk hati aku, aku ikhlas menerima kekurangan dan kelebihan anakmu sebagai isteriku. Dan aku harapkan bakal isteriku juga ikhlas menerima kekuranganku. Amin.

Doakan kami.